Tuesday, February 3, 2009

KRISIS EKONOMI=KEHIDUPAN SOSIAL




Sepanjang tahun 2009 akan menjadi tahun yang amat sukar bagi sesetengah kita dalam pengurusan ekonomi harian. Paling ramai yang terkena tempias kepada keadaan ini adalah mereka yang bekerja di sektor swasta. Contohnya mereka yang bekerja di sektor elektronik dan pembuatan.

Bulan Januari 2009 sahaja kita sedia maklum hampir 10 ribu pekerja telah diberhentikan. Dijangkakan pula sebanyak 200 ribu lagi yang bakal menerima nasib yang sama.

Kehilangan mata pencarian bagi seseorang individu itu sudah pasti bakal menimbulkan pelbagai masalah kepada individu tersebut. Bagi mereka yang mempunyai tanggungan seperti pinjaman rumah, kereta dan sebagainya sudah tentu pening memikirkan nasib mereka di hari mendatang.

Apatah lagi yang mempunyaI keluarga untuk menangung makan minum anak bini, sekolah anak-anak, keperluan dapur dan juga keperluan harian. Keadaan makin memeritkan apabila harga barang-barang keperluan harian di pasaran seperti gula pula meningkat.

Keadaan yang berlaku ini langsung tidak membantu rakyat kita untuk bangkit semula, malah mengusutkan lagi keadaan. Tekanan demi tekanan ditimpa, dalam minda mereka akan berlegar-legar bagaimana cara mudah dan cepat untuk memperolehi sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan harian yang kian parah hari demi hari.

Terdesak, terburu-buru dan tertekan, segala peluang yang terjah dihadapan mata akan disambar, asalkan duit. Maka terlibatlah dengan peminjaman ALONG, skim CEPAT KAYA dan sebagainya.

Keadaan akan bertambah parah apabila hutang ALONG bunganya semakin meningkat dan kemudian diburu pula, duit penyertaan skim CEPAT KAYA hangus apabila dilarikan. Kesannya maka terjadilah kes bunuh diri, penderaan kanak-kanak dan wanita dan ada yang sampai menjadi kurang siuman.

Itu belum lagi dengan mereka yang terdesak untuk meragut, merompak, perjualan dadah, judi dan sebagainya. Secara tidak langsung ia bakal menyumbang kepada kenaikan kadar jenayah di negara kita. Kihidupan sosial akan bertambah buruk.


Apa yang saya nampak daripada situasi diatas. Manusia seolah-olah menjadi hamba kepada duit. Apabila tiada duit di depan mata, maka meronta-rontalah dia kehausan.

Dari sudut lain pula. Bagi yang beragama Islam, banyakkanlah berdoa, bertawakkal dan jangan lupa berusaha. I'Allah, Allah SWT akan buka jalan untuk kita walau bagaimana susah pun keadaan kita.

Anggaplah ini ujian kepada kita, jika kita rasa yang kita susah, ingatlah bahawa masih ada lagi ramai daripada kita lagi susah. Syukurlah kita jika hanya makan nasik berlaukkan kicap dan telur kerana masih ada diluar sana hanya makan sekeping roti sahaja untuk sepanjang hari.

Semoga tahun 2009 yang sukar ni memberikan peluang kepada kita untuk bermuhasabah diri kita. Ada hikmahnya berlaku sebegini, ia dapat elakkan daripada kita terus hanyut dalam kemewahan yang kita ada sekarang ini.

Kesimpulannya,
Rancanglah ekonomi anda dengan bijak. Jangan terburu-buru dalam membuat keputusan. Banyakkan dekat diri dengan ALLAH SWT agar memperoleh ketenangan. Ketenangan minda akan membolehkan kita berfikir secara tenang dan bijak walau dalam apa jua situasi sekalipun.

No comments:

Post a Comment

Sila Tinggalkan Komen Anda Disini